|
BEBERAPA siri
tangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas para pemimpin Parti
Keadilan Nasional kononnya kerana disyaki terbabit dalam merancang
Perhimpunan “Black 14” tidak syak lagi merupakan satu tindakan
bermotifkan politik pucuk pimpinan negara yang kelihatan gelabah dan takut
dengan bayng-bayang bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Sebagai salah
seorang mangsa kepada tindakan tidak bertanggungjawab ini, saya dapat
memberikan bukti dan alasan yang kukuh bahawa tangkapan yang dilakukan ke
atas kami termasuk Ketua Pergerakan Pemuda Keadilan, Ezam Mohd Nor dan Naib
Presiden Tian Chua adalah lebih bermotifkan politik daripada melanggari
undang-undang.
Malah tindakan
pihak berkuasa bertindak menahan dan menangkap kami membuktikan bahawa
kenyataan Perdana Menteri kononnya Anwar Ibrahim bukan lagi menjadi faktor
di belakang kekuatan suara rakyat sepertimana yang dikatanya berhubung
pilihan raya kecil Sanggang adalah tidak benar.
Ini kerana jika
Anwar Ibrahim bukan menjadi faktor kekuatan rakyat, apalah sangat yang
dikhuatirkan dengan rancangan perhimpunan aman tersebut sehingga perlu
bertindak menahan para pemimpin Keadilan dan sebelum itu membuat
kenyataan-kenyataan berbentuk hasutan dengan mengatakan perhimpunan tersebut
bertujuan hendak menimbulkan huru-hara serta akan didalangi oleh tindakan
membawa senjata.
Apabila rakyat
tidak melakukan perhimpunan reformasi aman mereka mengatakan rakyat sudah
tidak menyokong Anwar Ibrahim tetapi bila perhimpunan hendak diadakan ia
dikatakan percubaan untuk mengadakan rusuhan dan kekacauan.
Bukti saya yang
pertama bahawa tangkapan ke atas kami bermotifkan politik ialah apabila saya
sendiri diletakkan di bawah seliaan dan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah
Perdagangan (BSJP) sepanjang tujuh hari saya di tahan oleh pihak polis.
Sepanjang tujuh hari itu juga saya telah diletakkan di dalam lokap yang
berasingan.
Sepanjang tempoh
itu juga saya disoal-siasat hanya sehari. Selebih enam hari lagi saya disoal
dengan soalan yang sama oleh pegawai-pegawai yang berlainan. Dan saya
diletakkan di dalam lokap bersama-sama dengan penjenayah-penjenayah yang
lain termasuk penagih dadah dan kaki pecah rumah.
Operasi yang
dijalankan ke atas kami dinamakan OPS PADAM. Apa yang dimaksudkan dengan
PADAM itu saya tidak begitu pasti. Bagaimanapun OPS PADAM ini mendapat
arahan secara langsung daripada Menteri Dalam Negeri, demikianlah saya
difahamkan.
Untuk mengelak
daripada malu dan bagi menjustifikasikan penangkapan yang dibuat ini, pihak
berkuasa telah mendakwa Ezam atas ceramahnya di Lembah Pantai yang tidak ada
kena mengena dengan penahanannya ekoran perhimpunan Black 14 yang
digembar-gemburkan oleh polis itu.
Naib Presiden
Keadilan, Tian Chua pula didakwa atas penglibatannya dalam perhimpunan di
pekarangan Masjid Negara membantah tindakan KDN menghadkan penerbitan
Harakah daripada lapan kali sebulan kepada dua sahaja. Juga tidak ada kena
mengena dengan perhimpunan Black 14.
Sementara saya,
Ruslan Haji Kasim tidak didakwa di atas apa-apa kesalahan. Saya cuma
diletakkan di bawah pengawasan polis.
Oleh yang
demikian, pertanyaan saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang bebas dan
merdeka ialah, atas kesalahan apakah maka saya dan rakan-rakan yang lain
ditahan selama tujuh hari tujuh malam dan dikurung bersama-sama para
penjenayah di dalam lokap. Apakah polis di negara ini bebas menahan dan
menangkap sesiapa sahaja atas alasan yang mereka sendiri ada-adakan tanpa
bukti dan alasan yang munasabah serta kukuh.
Maka itu,
kesemua kami yang ditahan di bawah OPS PADAM sedang berbincang dengan para
peguam kami sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Perdana
Menteri atau Menteri Dalam Negeri kerana menghasut rakyat untuk mempercayai
bahawa kesemua kami yang ditahan di bawah operasi itu minggu lalu adalah
bertujuan dan berniat jahat untuk mengadakan rusuhan serta merancang
perhimpunan bersenjata sedangkan kami tidak pernah merancang demikian dan
buktinya tidak didakwa oleh pihak berkuasa atas kesalahan tersebut.
Saya bagi pihak
mereka yang telah ditahan bagaimanapun ingin mengucapkan ribuan terima kasih
kepada ahli-ahli Parlimen BA terutamanya wakil-wakil dari Parti Keadilan
Nasional kerana mempertahankan kami dan mengecam tindakan menahan kami
ketika berucap di Dewan Rakyat.
Cuba bandingkan
penangkapan ke atas kami (yang gagal dibuktikan kesalahan) dengan pesta
bogel dan pesta arak yang diadakan di Kem Ghafar Baba dekat Ulu Klang tempoh
hari yang mana tiada penangkapan dan pendakwaan dilakukan oleh pihak
berkuasa ke atas mereka-mereka yang terlibat sedangkan kami ditahan selama
tujuh hari tujuh malam bersama para penjenayah tanpa alasan yang munasabah.
Sekian. Terima
Kasih
Ruslan Haji
Kasim Ketua Penerangan
|